Wednesday, July 21, 2010

Puisi Moden : Mahsuri



Sajak Mahsuri

Arahan: Baca sajak di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.




Selendangmu mengibar di pantai
menyambut tetamu pulau
setiamu menjadi lagu
nyanyian ombak pagi
rambutmu menjadi jalur hitam
terapung di laut malam
air matamu dingin embun
jatuh di tujuh telaga
dendam tujuh keturunan
melengkung tujuh tanjung
putihlah pulau ini
disimbah darah suci

Mahsuri
sumpah itulah yang telah menghidupkan Langkawi
kerana tanpamu
Langkawi tidak sebegini.

Kata orang Mahsuri tidak pernah hidup
dia hanya bermula dengan
khayalan seorang seniman
pun kata orang Mahsuri pernah hidup
tetapi bahasa seorang pencerita
membuat dia lebih hidup dari kehidupannya
sastera yang mewarnai tanah air
kerana tanpa Mahsuri

Langkawi tidak sebegini bererti.
Mahsuri membesarkan Langkawi
sastera membesarkan tanah air.

Sebuah sajak yang sangat indah ciptaan Zurinah Hassan
(Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)


Soalan latihan:

1) Berikan maksud rangkai kata disimbah darah suci dalam sajak ini.

2) Sekiranya anda menjadi pemimpin di Pulau Langkawi, apakah usaha yang akan anda lakukan untuk memajukan lagi sektor pelancongan pulau tersebut? Sila berikan empat usaha yang bakal anda lakukan.

3) Berdasarkan sajak “Mahsuri”, nyatakan tiga gaya bahasa yang terdapat dalam sajak tersebut.

4) Jika anda pernah bercuti di Pulau Langkawi, apakah tempat paling indah yang pernah anda lawati disana?

No comments:

Post a Comment